IKIMFM TERJAH BAZAR RAMADAN BAGI DUIT RAYA RM50 SEORANG

Kuala Lumpur, 5 April (IKIM) – Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm) hari ini membawa penyampai-penyampainya menerjah Bazar Ramadan dengan misi memberi duit raya kepada 20 pengunjung bazar yang bertuah di Bazar Ramadan TTDI, Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil yang turut menyertai program ini berkata beliau sangat menyokong program sebegini bagi berkongsi rezeki sesama pengunjung dan berharap pada tahun hadapan ianya dapat dilakukan dengan lebih meluas lagi.

Beliau berkata ini merupakan program julung kali diadakan turun padang untuk memberi duit raya kepada pengunjung di samping mengenali pendengar IKIMfm dengan lebih dekat dan memperkenalkan IKIMfm kepada pendengar baharu.

Rata-rata pendengar IKIMfm yang ditemui di Bazar Ramadan TTDI memberikan komen yang positif terhadap IKIMfm terutama dengan kehadiran TyzoXander di segmen Inspirasi Pagi bersama Pyan dan Luq, jam 6:00 hingga 10:00 pagi setiap hari Isnin hingga Jumaat yang lebih menceriakan suasana.

Misi Terjah Bazar ini bukan sahaja bagi berkongsi rezeki bersama pengunjung, malah juga memberikan maklumat kepada mereka yang ditemui berkenaan aplikasi IKIMfm dengan penjenamaan baharu.

Antara penyampai IKIMfm yang turut hadir menjayakan program ini TyzoXander, Mona Jasman, Siti Rohani Surani dan Batrisya Afrina.

Aplikasi IKIMfm boleh dimuat turun melalui AppleApp Store atau Googgle Play Store.

Scroll to Top