• ISNIN: 10.15AM PESONA D' ZAHRA...12.30PM DUNIA EKONOMI...3.15PM M-TECH...5.15PM..IBRAH...9.15PM MAKARIMUL AKHLAK
IKIMfm | Pilihan Utama Anda
Print


KUALA LUMPUR - Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm) mengambil pendekatan baharu di dalam memasyarakatkan radio yang telah mencapai usia 12 tahun ini.  Selepas memperkenalkan aplikasi telefon pintar melalui Android dan iPhone, IKIMfm memperkenalkan Hebahan Online kepada semua pengunjung laman web IKIMfm di http://ikimfm.my/hebahan


Pengarah Pusat Media IKIM, Dr Nik Roskiman Abdul Samad berkata pendekatan baharu ini bagi memudahkan semua pendengar IKIMfm khususnya menyampaikan maklumat dan hebahan sama ada berbentuk program, seminar, konvensyen, aktiviti lapangan atau aktiviti masjid atau lebih dikenali di IKIMfm sebagai Salam Masjid dengan syarat ianya percuma. Ia juga bagi menyahut seruan kerajaan untuk mengurangkan penggunaan kertas bagi penjimatan.
 
"Sebelum ini kita membuka ruang pendengar menyampaikan maklumat melalui siaran rancangan Salam Masjid di IKIMfm yang bersiaran setiap hari sebelum azan Maghrib berkumandang, namun melalui pendekatan ini ianya lebih mudah diakses dan disampaikan oleh penyampai IKIMfm yang bertugas," katanya. Dengan pendekatan yang berkonsepkan memasyarakatkan radio kepada pendengar, IKIMfm membangunkan laman sesawang ini sebagai sebahagian dari menunaikan tanggungjawab korporat sosial (CSR). 
 
Prosedurnya juga mudah di mana pendengar atau pengunjung laman web IKIMfm hanya perlu melayari www.ikimfm.my/hebahan dan mengisi ruang maklumat dan jika ada, boleh memuatnaik maklumat lanjut samada poster, aturcara program  dan sebagainya. Permohonan tersebut akan diproses untuk kelulusan dan sekiranya benar program tersebut  percuma dan tidak bermotifkan komersil, ianya akan diluluskan untuk hebahan. Pendengar juga boleh merujuk ke laman ini untuk mengetahui lebih lanjut maklumat program yang mungkin mereka tidak sempat menyalinnya apabila mendengar ianya ke udara.

Adalah diharapkan selepas ini organisasi atau masjid yang ingin menghebahkan aktiviti mereka tidak lagi perlu menghantar surat atau fakskan ke IKIMfm, sebaliknya menggunakan kemudahan laman Online ini~IKIMfm.
Share
 
Print

article-majlis-makan-malam-amal

‘Ibu Ratu Hatiku’ Tanda Balas Pengorbanan Ibu
oleh Syafiq Zulakifli

KUALA LUMPUR - Bagi menghargai pengorbanan dan jasa ibu, IKIMfm dengan kerjasama Islamic Aid Malaysia (IAM) telah menganjurkan Majlis Makan Malam Amal sempena Sambutan Hari Ibu pada hari Sabtu, 10 Mei yang lalu.

Sebanyak 500 buah kerusi yang telah diisi oleh para pendengar IKIMfm juga penaja yang turut memeriahkan acara tersebut. Majlis ini diadakan dengan kerjasama Islamic Aid Malaysia (IAM) di Dewan Tun Hussein Onn, PWTC Kuala Lumpur.

Turut hadir pada majlis makan malam amal tersebut ialah Yang Berbahagia Datuk Nik Mustapha Nik Hassan, Ketua Pengarah IKIM dan juga isteri. Memeriahkan lagi acara adalah para penyampai IKIMfm yang saban hari bersiaran di IKIMfm dan kali ini mengambil tempat berkongsi kegembiraan dalam majlis tersebut.

Majlis pada malam tersebut dipengerusikan oleh Dj Faiz Hj Othman dan Dj Mazlina Ismail. Acara dimulakan pada pukul 8.30 malam dengan pembukaan doa dan ‘Bicara Untuk Ibu’ oleh Pencetus Ummah (PU) Rahmat.

Para tetamu yang membawa ibu dalam majlis Makan Malam Amal ‘Ibu Ratu Hatiku’ diraikan bersama-sama dengan persembahan khas dari Dj Fairuz Hj Noordin dengan puisi ‘Titisan Kasih Bonda’ dan nyayian lagu ‘Kasih Tak Bersyarat’ oleh Dj Mohd Erwan Johari.

Tidak ketinggalan, majlis tersebut turut menampilkan persembahan istimewa Hafiz Hamidun dan penyanyi antarabangsa dari United Kingdom Saif Adam.

Penganjuran yang diadakan pada tahun ini juga turut meraikan ibu-ibu yang mempunyai anak ‘Cerebral Palsy’ bagi menghargai pengorbanan mereka menjaga anak-anak istimewa. Pada akhir acara tersebut, para ibu dan anak mereka dibawa ke pentas serta diraikan bersama-sama.

Sesi bergambar bersama-sama para penyampai menjadi acara kemuncak Majlis Makan Malam Amal ‘Ibu Ratu Hatiku.’

Terima kasih diucapkan kepada semua yang menyumbang dalam acara tersebut.

Share
 
Print

mahabbah-johor-article-picture

KUALA LUMPUR  - Penyanyi bergelar ‘papa rock’ Ramli Sarip bakal menemui pengunjung Karnival Mahabbah IKIMfm Johor yang dijangka bermula Jumaat ini. Karnival Mahabbah IKIMfm Johor 2014 akan diadakan di Angsana Mall Johor Bahru pada 25 hingga 27 April ini bermula 9 pagi hingga 11 malam selama tiga hari.

Menurut Penyelaras Karnival Mahabbah IKIMfm, Puan Fairuz Hj Noordin, mengekalkan konsep karnival sebelum-sebelum ini, IKIMfm  bekerjasama dengan Institut Pembangunan dan Pengurusan Johor (IPPJ) mengadakan karnival ini bagi menarik pengunjung karnival dan pendengar setia radio IKIMfm yang telah bersiaran selama 13 tahun.

Katanya lagi, penganjuran program kali ini ditaja oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ), Bank Rakyat (M) Bhd, Abqori Minda Genius dan Must Read Sdn Bhd selaku penaja bagi hadiah kuiz kepada pengunjung karnival.

Beliau turut memaklumkan Konsert Mahabbah IKIMfm Johor 2014 bakal menampilkan Ramli Sarip dan Daqmie yang akan mengisi pentas utama karnival pada hari pertama.

“Insya-Allah, jika tahun lalu IKIMfm membawa Ramli Sarip ke Shah Alam, Selangor ; kita akan bersama-sama dengan papa rock itu pada karnival di Johor pada kali ini,” katanya yang juga Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm.

Pelantun suara ‘Tangis Sebatang Tamar’ yang masih mengekalkan kedudukan teratas Carta IKIMfm juga akan turut bersama-sama di dalam Konsert Mahabbah IKIMfm pada hari Jumaat, 25 April ini.

Selain daripada itu, Karnival Mahabbah IKIMfm turut mengisi segmen dari Konti Ke Pentas bersama-sama Ustaz Basir Mohamed Al-Azhari dalam rancangan ‘Tarbiah’ pada hari Jumaat, pukul 10 pagi.

Di samping itu, pada sebelah petang Ustaz Ebit Lew akan mengemudi segmen ‘Usrah Nurani’ yang akan bermula selepas Solat Asar pada hari pertama.

Pengisian Konti Ke Pentas juga akan bersama-sama Ustaz Muhammad Fadzli Yamani dalam rancangan ‘Tahsinul Ibadah’ pada hari kedua pukul 10 pagi. Tidak ketinggalan rancangan Forum Bicara ad-Deen akan bersiaran pada petang hari kedua bermula pukul 3 petang yang membariskan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Wakaf, Zakat dan Baitulmal MAIJ dan Pencetus Ummah (PU) Hafiz.

Karnival Mahabbah IKIMfm Johor 2014 turut dimeriahkan dengan acara-acara lapangan yang lain seperti Pertandingan Choral Speaking dan Mewarna Kanak-Kanak, Eksplorasi dan macam-macam lagi.

Jumpa pendengar IKIMfm di Johor.

Klik link berikut untuk muat turun tentatif penuh karnival - http://goo.gl/4paVWY

Share
 
Print


Konvensyen Inspirasi Usahawan IKIMfm-DPIM Berjaya


Konvensyen Inspirasi Usahawan (KIU) anjuran IKIMfm dan Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM)  Sabtu 12 Oktober lalu telah berjaya menarik penyertaan lebih dari 340 orang, lebih dari kemampuan Dewan Besar IKIM yang memuatkan hanya 300 orang. Sambutan luar biasa itu menyebabkan bilik bersebelahan, iaitu Theatrette terpaksa dibuka dan litar tertutup disediakan bagi menampung kebanjiran usahawan dan bakal usahawan Muslim.

Pengarah Pusat Media, Dr Nik Roskiman Abdul Samad ketika memberi ucapan ringkas di penghujung konvensyen merakamkan terima kasih atas sambutan para pendengar IKIMfm terhadap program yang julung kalinya diadakan ini. Beliau juga cukup kagum dengan kesetiaan peserta hingga ke akhir program di mana kebiasaannya dalam program-program yang biasa dianjurkan, peserta akan berkurangan pada sesi di sebelah petang. Ini menunjukkan komitmen yang tinggi di kalangan peserta demi memajukan ekonomi umat Islam. Beliau turut menjelaskan bahawa ada pendengar yang merasa ragu-ragu dengan program ini kerana mereka pernah tertipu kerana di penghujung program akan ada gesaan supaya menyertai MLM atau pembelian produk dan seumpamanya, tetapi ini tidak berlaku dalam Konvensyen ini. KIU ini benar-benar ikhlas untuk mewujudkan jaringan di kalangan usahawan Muslim agar masing-masing dapat saling bekerjasama memajukan ekonomi ummah tanpa ada tipu muslihat lain. Ianya dapat dilaksanakan kerana IKIMfm dan DPIM kedua-duanya merupakan organisasi yang tidak bersifat mengaut keuntungan tetapi sebaliknya untuk memberi kefahaman Islam yang sebenar dan memajukan umat Islam dalam segenap aspek.

Sementara itu, ketika sesi Rumusan Konvensyen, Timbalan Presiden DPIM, Hj. Mohammad Sahar Mat Din turut merasa berbangga kerana program yang julung kali diadakan ini selepas empat tahun Rakan Jihad Bisnes (rjb) dilancarkan sudah mula menampakkan hasil dan sokongan dari khalayak masyarakat. Majlis dipengerusikan oleh Dj Syafiq dan Dj Faiz manakala Dj Norhayati bertindak selaku moderator untuk sesi perkongsian pengalaman. Turut hadir Dj Mona Jasman dan Dj Hajjah Nik Hasnah Ismail.

TV IKIM yang merakam penuh KIU ini turut menyediakan rakaman video untuk mereka yang tidak berkesempatan mengikuti sesi ini. Tempahan boleh dibuat melalui borang di bawah ini dan dikembalikan ke TV IKIM sepertimana alamat yang tertera.

http://bit.ly/GT8ZxD 

Share
 
Print



IKIMfm Rapatkan Usahawan Muslim Melalui Konvensyen Inspirasi Usahawan

Kepentingan memahami konsep jaringan usahawan atau 'Networking' amat penting dalam dunia perniagaan kontemporari kerana jaringan usahawan menjadi satu strategi untuk usahawan mencapai kejayaan dalam perniagaan mereka.

Usahawan  dan bakal usahawan adalah disaran membentuk jaringan sesama mereka supaya dapat meluaskan peluang perniagaan dan membantu meningkatkan pencapaian dalam bidang tersebut.

Memandangkan kurangnya penglibatan masyarakat muslim negara ini dalam bidang perniagaan IKIMfm telah mengambil inisiatif dengan menerbitkan program Inspirasi Usahawan terbitan DJ Norhayati Paradi yang mengendalikan segmen Destinasi setiap hari Isnin hingga Jumaat dari pukul 2.00 petang sehingga ke pukul 6.00 petang.

Inspirasi Usahawan adalah salah satu slot di Destinasi IKIMfm yang bersiaran setiap hari Selasa jam 3.15 petang dengan mengetengahkan beberapa nama besar dalam dunia keusahawanan. Penerbitan program yang berbentuk interaksi  santai  ini telah bersiaran hampir dua tahun dan bermatlamat sebagai pemangkin pelonjak semanagat dan inspirasi buat pendengar IKIMfm yang berminat dan yang sudah pun berkecimpung dalam dunia keusahawanan.

Kesinambungan daripada penerbitan program Inspirasi Usahawan inilah tercetusnya idea untuk menganjurkan Konvensyen Inspirasi Usahawan IKIMfm dengan kerjasama Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) yang membawa tema Networking kekuatan Bisnes ummah.

Menerusi Networking ataupun jaringan ini akan memberikan peluang untuk usahawan bertukar-tukar pandangan dan meniupkan semangat serta saling membantu bagi memantapkan kemahiran masing-masing. Konvensyen Inspirasi Usahawan IKIMfm ini akan menjadio wadah perkongsian pengalaman para usahawan tersohor antaranya YBhg Tan Sri Mohammad Ali Hashim; Presiden DPIM, YBhg Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dan ramai lagi. Ucaptama danucapan perasmian akan di sampaikan sendiri oleh Ketua Pengarah IKIM; YBhg Datuk Nik Mustapha Hj. Nik Hassan.

Dengan penganjuran Konvensyen Inspirasi Usahawan IKIMfm ini diharap dapat melebarkan penerokaan para usahawan dalam bidang keusahawanan memandangkan ia merupakan platform untuk mereka saling berkenalan dan mengembangkan perniagaan sedia ada ke peringkat yang lebih tinggi di samping membina keyakinan bagi yang baru menjinakkan diri dalam dunia keusahawanan ini.

Konvensyen sehari yang bakal berlangsung di Dewan Besar IKIM ini hanya mengenakan bayaran sebanyak RM150.00 sahaja dan pendaftaran boleh dilakukan secara online di http://www.rakanjihad.com atau hubungi  03-2087 0221. Diharap Konvensyen Inspirasi Usahawan IKIMfm ini dapat menjadi platform dalam meninggkatkan keyakinan diri usahawan muslim untuk pergi lebih jauh dengan menjadikan hubungan jaringan sebagai kunci kepada kejayaan perniagaan peserta.~IKIMfm

Share
 
<< Start < Prev 1 2 3 4 5 6 Next > End >>

Page 1 of 6